PENGENALAN
Kebaktian (al-Birr) adalah satu amalan mulia lagi terpuji dan orang yang menjadi pengamalnya (al-abrar) mempunyai kedudukan dan keistimewaan di sisi Allah SWT. Atas dasar inilah tercetusnya gagasan kepada Briged Bakti Malaysia (BBM) untuk menterjemahkan maksud “al-Birr” itu dalam bentuk amalan dan tindakan secara berorganisasi.
Justeru itu, BBM beriltizam untuk melahirkan sukarelawan yang professional lagi komited bagi mengisi tuntutan fardu kifayah dalam menjayakan agenda pembangunan sosial negara melalui gerak kerja kebajikan dan kesukarelawanan. Adalah harapan kami juga, penglibatan masyarakat khususnya remaja dalam aktiviti-aktiviti yang sihat ini boleh mengelakkan mereka dari terjebak dalam gejala-gejala negatif yang sedang melanda negara dengan begitu ketara.
BBM bermula sebagai Briged Bakti Negeri Kelantan (BBNK) pada tahun 1991 dengan aktiviti awalnya di peringkat sekolah menengah melalui penubuhan Briged Bakti Remaja (BBR) satu badan berunifom sekolah. YB Dato’ Hj Muhyiddin Bin Yassin Menteri Belia Dan Sukan telah merasmikan Perkhemahan Perdana BBNK pada 30 Julai 1997 di Kem Kijang , Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.
Ekoran kejayaan BBNK, Briged Bakti Malaysia (BBM) ditubuhkan pada 8 April 2009 untuk mengembangkan sayapnya ke seluruh negara termasuk Sabah dan Serawak. BBM telah mendapat kebenaran dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui surat rujukan KPM.BKK.(KOKU)100-16/10/01(47) untuk menjalankan aktiviti di sekolah-sekolah. BBM sedang memperkasakan semua jentera BBM untuk menyahut cabaran yang lebih besar ini.
Tiada ulasan